Setelah sekian lama tidak menulis, hari ini hatiku seperti memaksa jemariku menaip. Mungkin kerana peristiwa semalam. Semalam, hatiku disapa sayu...tarian jemariku diiringi linangan air mata pilu...
Rutinku setiap hari berjalan seperti biasa. Kesibukan suasana koperasi apabila tiba waktu rehat menjadi 'jamuanku' setiap hari. Sejujurnya aku rimas dengan semua itu..Tapi, kerana peristiwa itu, aku kembali muhasabah diri...
Tersebut alkisah, bilamana seorang anak muridku (maaf aku tidak dapat mengingati namanya) masuk ke koperasi sambil sebelah tangannya memegang tupperware. Daripada sisanya yang masih berbaki, kutahu dia membawa bekal nasi ke sekolah. Biar aku namakan dia Amirul.
Dengan perlahan dia mendekatiku, lantas bertanya,
"pembaris ada tak?"
Aku bertanya semula, "nak yang pendek atau yang panjang?"
Amirul menjawab, "pendek". Salah seorang AJKku yang mendengar perbualan kami segera memaling ke arah rak dan mengambil sebatang pembaris. Dia menyerahkan pembaris itu kepadaku, dan aku meghulurkan pembaris tersebut kepada Amirul.
Kelihatan Amirul seperti kecewa, dan dengan perlahan dia bertanyakan harganya. Aku menjawab, "50 sen".
Saat itu, air muka Amirul yang jernih itu jelas menampakkan kesedihan.
Dia bertanya semula, "yang 20 sen punya tak ada ka?".
Ketika itu, aku dan AJKku berpandangan sesama sendiri. Aku menjawab, "tak ada la, ni ja yang ada..".
Dengan perlahan, Amirul menghulurkan semula pembaris itu kepadaku..dan dengan perlahan, bibirnya bergerak, "hm, xpa la.tak mau la.."
Dalam hatiku terdetik, semalam dia datang membeli pen, pen biru. Dia membeli pen biru yang paling murah dengan wang syiling yang dikeluarkan dari poket seluarnya sambil mengira, cukup atau tidak untuk membayar harga pen yang ingin dibelinya. Kelihatan dia seperti berat hati untuk menyerahkan wangnya itu.
Dan hari ini, dia datang lagi dengan harapan dapat membeli sebatang pembaris. Bila sudah ada pembaris, dapatlah dia menyiapkan kerja rumah yang diberikan dengan lebih kemas. Aku menduga sendiri.
Amirul seorang murid yang baik. Dalam kelas, dia tak banyak bercakap. Patuh arahan guru. Itu yang dapat aku gambarkan tentang Amirul. Wajahnya yang jernih sering mengundang rasa pilu dihatiku. Hatiku selalu tertanya-tanya, adakah dia ada masalah? ayahnya kerja apa? ibunya kerja apa? bagaimana dengan adik-beradiknya yang lain? sungguh aku sayu..kerana sebatang pembaris, dia telah menjentik hatiku disudut yang paling jauh dan dalam. Dia seorang pelajar, ingin belajar seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Ingin belajar dengan selesa dan lengkap peralatannya. Namun, mungkin nasibnya tidak sebaik kanak-kanak lain. Wang dia ada tidak cukup untuk dia memdapatkan sebatang pembaris. Jadi, bagaimanakah nasibnya selepas ini? Adakah dia akan didenda oleh gurunya kerana tidak menyiapkan kerja rumah? Sungguh aku resah memikirkannya..
Kisah Amirul berbeza dengan kisahku. Saat aku diberitakan oleh pihak sekolah bahawa aku dilantik menjadi salah seorang Ahli Lembaga Koperasi sekolah, aku sedikit tertekan. Tiada pengalaman, bahkan tiada minat. Namun, hari demi hari aku cuba menyesuaikan diri dengan tugasku. Setiap hari mengira dah memegang wang yang agak banyak, aku memegang amanah yang besar. Kadang-kadang aku bertanya kepada diriku sendiri. Ikhlaskah aku? Kenapa aku berasa seperti dipaksa menjalankan amanah ini? Namun semua itu kupendam sendiri, tiada siapa yang tahu. Terima kasih Ustaz yang banyak memberi kata-kata semangat dan tunjuk ajar. Sejuk hatiku bila diberi 'tazkirah' oleh pengurus koperasi yang bergelar Guru Cemerlang itu.
Semalam beberapa ketika selepas Amirul menyapa hatiku, terngiang-ngiang kata-kata Ustaz beberapa bulan lalu...
"kita sebagai guru mesti ada rasa ingin membantu anak muridnya berjaya. ingin membuat kebajikan untuk pelajar-pelajarnya. Koperasi sekolah ditubuhkan salah 1 tujuannya ialah untuk menjaga kebajikan murid-muridnya.."
Jadi, dimanakah aku sebenarnya? Apakah sumbangan aku kepada murid-murid senasib dengan Amirul?Maafkan Cikgu anak-anak muridku sayang..Maafkan saya Ustaz kerana pernah menganggap amanah ini 1 bebanan.. YA ALLAH, AMPUNKAN AKU....
Buat Amirul, cikgu titipkan doa' semoga kau menjadi pelajar yang baik, anak yang soleh, masyarakat yang berguna dan pejuang Islam yang GEMILANG, INSYA ALLAH...